Apakah Faedahnya?
Antara faedah yang dinisbahkan kepada akhirat ialah memandang ke langit, matahari, bulan, bintang dan lain-lain agar anda dapat menjadikannya sebagai dalil dan bukti adanya Allah SWT, keesaanNya dan kekuasaanNya.
Antara faedahnya lagi ialah melihat Al-Quran, melihat jalan ke masjid dan ke tempat menuntut ilmu.
Sementara faedah yang dinisbahkan kepada dunia ialah melihat hasil usaha dan terlepas daripada sesuatu yang menyakitkan seperti jatuh dan berlaga
Bagaimana Menghargai Mata?
Mensyukuri mata itu ialah memelihara dan mengawasinya daripada melihat setiap yang haram seperti melihat perempuan yang lain selain isterinya, hamba sahaya dan muhrimnya, dan juga melihat remaja yang muda belia umpama melihat aurat lelaki dan seumpamanya. Oleh sebab itu, lazimilah mengawasi mata anda daripada melihat dan memerhatikan setiap yang haram tersebut.
Kenapa?
Kerana Allah SWT ada berfirman di dalam surah An-Nur ayat 30 :
"Katakanlah wahai Rasulullah kepada orang-orang yang beriman lelaki, "Hendaklah mereka memejamkan (menahan) pandangan matanya (melihat yang terlarang yang tidak harus kamu melihatnya) dan memelihara kemaluan mereka (jangan berzina dan pasti mereka menjaga kemaluan mereka daripada perlakuan sedemikian) itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa-apa yang mereka perbuat (sama ada zahir maupun batin mereka akan diberi balasan atas perbuatan mereka itu)".
Ayat tersebut mengajar kita agar berkelakuan baik di samping memberitahu dan menimbulkan rasa takut kita untuk melakukannya. Kita diajar supaya sentiasa beradab dalam apa jua situasi.
"Katakanlah kepada orang-orang yang beriman, pasti mereka menahan dan memejamkan pandangan mata mereka daripada melihat sesuatu yang terlarang dan tidak halal dipandang".
Allah SWT menyuruh hambaNya supaya berkelakuan baik iaitu mengawasi matanya daripada memandang yang haram dan menjaga kemaluannya daripada yang tidak halal.
Oleh sebab itu, wajib ke atas setiap hambaNya menjunjung perintah Tuhannya, dan jika tidak sudah pasti ia akan berkelakuan jahat dan memang wajarlah ia dimurkai dan diseksa.
"Menahan pandangan mata dan menjaga kemaluan itu adalah lebih suci bersih bagi mereka".
Allah SWT mahu hambaNya memejamkan mata dan memelihara kemaluan untuk mensuci bersihkan hati daripada segala dosa dan untuk memperbanyakkan lagi sesuatu amalan yang baik.
Sementara menimbulkan rasa takut (menakutkan), Allah SWT berfirman, "Sesungguh Allah Taala Maha Mengetahui apa-apa yang mereka perbuat sama ada zahir mahupun batinnya".
Allah SWT akan membalasnya apabila ia berkelakuan baik, pasti ia akan diberi balasan pahala, kesenangan syurga. Sebaliknya jika ia memiliki kejahatan, pasti Ia akan dibalas dengan balasan seksa dan api neraka berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ghafir (Al-Mukmin) ayat 19 :
"Dia (Allah Taala) mengetahui (pandangan) mata yang khianat (pandangan yang terlarang seperti melihat wanita yang bukan muhrim) iatu mata itu mencuri memandang kepada yang haram dan terlarang. Dia mengetahui apa-apa yang disembunyikan oleh hati yang bercita-cita sama ada untuk melakukan kejahatan mahupun kebaikan".
Nabi SAW juga ada bersabda :
"Sesungguhnya memandang ke tempat yang elok (yang mengghairahkan) daripada tubuh badan perempuan itu umpama anak panah yang beracun daripada segala anak panah iblis (yang amat cepat merosakbinasakan seseorang).
Maka sesiapa yang meninggalkannya kerana berasa takut kepada Allah Subhanallahu Taala, nescaya Allah Subhanallahu Taala mengurniakannya rasa kesedapan amal ibadat yang menggembirakannya (yang menyukakan hatinya)".
Hadis di atas diriwayatkan oleh Al-Hakim daripada Hudzaifah RA dengan menghukumkan sanadnya itu adalah sohih.
Sabda Nabi SAW :
"Bagi setiap anak Adam (manusia) itu ada bahagianya daripada zina. Maka kedua-dua mata itu berzina dan berzina kedua-duanya. Memandang ke arah yang tidak harus (haram) dipandang. Dan kedua-dua tangan itu berzina dan berzina kedua-duanya menampar (menerkam) pada bahagian yang terlarang.
Dan kedua-dua kaki itu berzina dan berzina kedua-duanya berjalan ke tempat yang haram. Mulut itu berzina dan zinanya mengucup yang tidak halal dikucup. Hati itu yang ada keinginan dan cita-cita dan membenarkan yang sedemikian itu oleh kemaluan (faraj) untuk melakukan perbuatan zina atau mendustakannya (tercegah daripada keinginan untuk melakukannya".)
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muslim dan Al-Baihaqi daripada Abi Hurairah RA. Hadis tersebut membuktikan bahawa punca berlakunya zina itu adalah daripada pandangan kedua-dua mata.
Pesanan Untuk Si Pemilik Mata
Melihat mata yang melihat.
Haruslah kita sentiasa melihat dan memerhatikan apa dilihat oleh mata. Sentiasalah mengawasi mata dengan memeliharanya dengan bersungguh-sungguh apa yang anda nanti-nantikan. Jika berlaku sesuatu perkara yang amat serius, jagalah mata itu dengan pengawasan yang rapi dan bersungguh-sungguh.
Mata itu adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan kelak. Jangan terkejut apabila mata kita bercakap kelak.
cik copy artikel ni kat page iluvislam..so same same la kite manfaatkan ye :)
No comments:
Post a Comment